Setiap kali keputusan peperiksaan awam kerajaan diumumkan, ramai pelajar merasa tidak sabar-sabar untuk mengetahui apakah keputusan yang bakal diterima oleh mereka. Tidak ketinggalan merasai debaran menantikan keputusan peperiksaan ini ialah barisan ibu bapa dan juga para guru.

Pasti sahaja, keputusan yang cemerlang akan disambut dengan penuh kegembiraan. Sebaliknya, kekecewaan pasti akan terukir pada raut wajah apabila keputusan yang diharapkan tidak membuahkan hasil.

Begitulah warna-warni dunia pendidikan hari ini. Kecemerlangan seseorang pelajar dilihat lebih menonjol di atas kertas, iaitu ‘slip keputusan peperiksaan’. Jika pelajar tersebut berjaya mengumpul gred ‘A’ yang banyak, maka dia dianggap sebagai ‘insan yang cemerlang’. Sebaliknya jika dia gagal memperolehi gred ‘A’ dengan jumlah yang maksimum, maka dia dianggap sebagai ‘gagal’ atau kurang berjaya.

Persoalannya, apakah dengan kejayaan mengumpul bilangan gred ‘A’ yang banyak sudah memadai untuk melabel seseorang itu sebagai insan cemerlang?

Jawapannya sudah tentu tidak. Ini kerana, di samping penilaian dari sudut pencapaian akademik, satu perkara penting yang perlu diukur pada diri seseorang pelajar bagi menentukan sama ada dia telah mencapai status sebagai seorang insan yang cemerlang atau sebaliknya ialah akhlak.

Tidak ada guna mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan namun tidak tahu menghormati guru. Tidak bermakna memegang segulung ijazah akan tetapi membiarkan ibu bapa duduk di rumah kebajikan orang-orang tua. Sungguh tidak bererti memiliki pekerjaan yang baik dengan gaji yang lumayan namun bersikap angkuh kepada orang lain. Semua ini menunjukkan kepada kita betapa tingginya nilai sebuah akhlak berbanding sekeping sijil dan jumlah gaji bulanan yang dimiliki oleh seseorang.

Menyedari akan hakikat ini maka hendaklah pendidikan akhlak diberi keutamaan (prioriti) di dalam membina sebuah masyarakat agar ia tumbuh sebagai sebuah generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan sahaja dari sudut duniawinya tetapi juga pada sudut ukhrawinya. Justeru bagi mencapai ini, maka saya mengusahakan sebuah buku yang diberi judul “Adab & Amalan Pelajar” sebagaimana yang sedang anda tatapi sekarang ini.

Sekapur Sirih (Buku: Wahai Pelajarku, Hiasilah Akhlakmu).