Ternyata sekali masalah sosial di kalangan remaja termasuk pelajar sekolah semakin membimbangkan. Mungkin perkataan “bimbang” masih jinak bunyinya. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa masalahnya menuju ke puncak krisis.

 

Masalah ponteng sekolah, masalah penglibatan dalam maksiat serta pelajar sekolah menengah yang masih tidak tahu bersolat adalah diantara masalah yang nyata ketara hari ini. Pergaulan bebas tanpa batasan tanpa teguran ibubapa serta, pembaziran masa semasa di sekolah dan selepas sekolah, penglibatan dalam game komputer berbayar sehingga tengah malam dan sampai ke pagi, layari laman porno, muat-turun bahan porno (bukan sahaja oleh lelaki tetapi termasuk pelajar perempuan), bazir duit dengan penggunaan telefon pintar secara tidak pintar dan lain-lain lagi.

 

Semua ini menimbulkan tanda soal yang besar ke atas kelansungan kemajuan negara di masa akan dating kerana ramaja hari ini bukan sahaja pemimpin masa depan, malah ibu dan bapa masa depan.Kita perlu takut kerana Imam besar Al-Ghazali telah mengingatkan kita, mahu tengok pemimpin masa depan, tengok remaja masa kini. Jika itu bertukar jadi kenyataan maka cuba bayangkan negara kita di hari muka.

 

Kita mungkin mempunyai di antara bangunan tertinggi di dunia, kemudahan jalan raya dan pengangkutan antara yang terbaik di kalangan negara membangun, jalinan internet yang terbaik di rantau ini, bilangan kolej dan universiti yang terbanyak dan terbesar di rantau ini dan lain-lain lagi kemegahan.

 

Namun kemegahan tadi tidak maknanya jika insan atau manusia yang akan mengendalikannya kemodenan negara ini antara yang termundur. Kalau pun tidak semua bangsa, saya takut sekali bangsa Melayu yang rata-ratanya beragama Islam antara yang tertinggal di belakang.  Fenemona begini boleh meninggalkan fitnah yang besar ke atas Islam tu sendiri kerana bangsa lain yang bukan beragama Islam berkecenderungan mengaitkan kelemahan Melayu kepada Islam. “Tengok remaja Islam” yang sepatutnya “Tengok remaja  Melayu” !

 

Yang ramai gagal peperiksaan, pelajar Melayu, rata-rata beragama Islam.
Yang banyak merempit remaja Melayu, semuanya beragama Islam.
Yang majority terlibat dengan dadah juga orang  Melayu, yakni beragama Islam.
Yang terlibat dalam masalah ragut, kecurian dan lain-lain masalah social juga Melayu … Islam.

 

Namakan apa jua masalah dalam negara ini, Melayulah mendominasinya.
Kan mudah disangkutkan “masalah” dengan “Islam”.
Ini yang menakutkan.
Ini yang patut dielakkan.

 

Pada saya penyelesaiannya ada pada tangan ibubapa sendiri.
Memang kerajaan perlu turut dipersalahkan. Tetapi dalam tulisan kali ini saya hanya mahu fokus kepada peranan, sikap dan orentasi ibubapa. Persoalan peranan atau ketiadaan peranan berkesan kerajaan kita bicarakan lain kali.

tip mengawal anak

 

Kenapa ibubapa membiarkan anak bermasalah.
Saya berpendapat ada tiga sebab utama.

 

Pertama: TAKUTKAN ANAK !
Ramai juga ibubapa takut untuk mengambil tindakan tegas ke atas anak-anak mereka sebab sekian lama sebelum ini mereka memenuhi semua permintaan anak. Ia ibarat adegan dalam filem “Anakku Sazali” yang mana bapanya si Sazali bagi, bagi, bagi bermacam permintaan si anak. Maka akibatknya anak itu rosak … spoilt kid !. Si bapa takut kalau mereka tidak memberi apa-apa yang diminta, nanti anak akan memberontak, si anak tak mahu balik rumah, si anak akan ke rumah kawan, si anak akan ponteng sekolah dan pelbagai kemungkinan lagi. Ketakutan serupa inilah yang membuat si anak “naik kepala” dan mengambil pelbagai kesempatan. Inilah masalah sebelum ini semua permintaan ditunai belaka kerana “sayang”. Hari ini anak mudah kelentong mak ayah kecuali mak ayah yang prihatin.

 

Seorang pujangga pernah berkata kalau ibubapa langsung tidak pernah bertindak melakukan sesuatu yang membuat anak marah kepada mereka, berbuat sesuatu yang menyebabkan anak benci kepada mereka, maka rumusannya ibubapa itu tidak pernah menjadi ibubapa yang berkesan.

 

Kedua: IBUBAPA MALAS
Mereka pun nak berfacebook. Mereka pun nak layan drama kat TV. Sekarang ini ada pula siri “Kilauan Emas” a.k.a. “Bintang Tua” iaitu membariskan lelaki perempuan berumur 50an dan ke atas dalam pertadingan nyanyian ! Mereka pun nak sibuk bergossip dengan jiran. Mereka pun nak sibuk main game di facebook. Mereka juga nak berlepak di kedai kopi kampong. Mereka berhujjah kalau anak boleh ke sekolah sendiri buat apa nak hantar lagi kerana masa yang digunakan itu boleh buat kerja-kerja lain. Memang ada yang ikhlas dan serius nak buat kerja lain dan nak cari makan tetapi hujjah tadi lebih banyak digunakan oleh mereka sebagai alasan bukan sebagai sebab !

 

Rumusannya ramai ibubapa kurang bertanggungjawab. Mereka nak senang.

 

Sebab tu ramai cenderung beli pil kembang otak; pil cerdik minda;  tonik kuat memori dan sebagainya tetapi mereka lupa mengajak anak mereka berusaha. Selalu saya nyatakan, “makanlah buah kismis secupak sehari pun, kalau tak belajar, kalau malas memang tidak ada apa-apa kesan”. Samalah juga ibubapa yang hanya berminat solat hajat tetapi tak pernah ajak anak berusaha ! Kan dalam Surah Al-Insyirah Allah dah ingatkan kita dua kali “nak senang, susah dahulu”. Solat Hajat amat bagus dan tindakan mulia jika disusuli dengan usaha berterusan. Ada yang bergantung ke natas tuisyen. Pergilah tuisyen tiap-tiap hari pun, kalau di sekolah banyak bermain, kalau balik rumah asyik menghadap komputer dan TV, maka tusiyen itu pasti tidak berkesan kerana ke tuisyen bukan untuk belajar, tetapi untuk tujuan lain termasuklah mendapat lessen keluar rumah selepas balik sekolah.

 

Ibubapa malas dan melahirkan anak yang malas.

 

Ketiga: TAK AMBIL PEDULI LANGSUNG
Ramai juga ibubapa dalam kategori ini, iaitu “pandai buat anak tetapi tak pandai membesarkan anak”. Pada mereka asal anak ke sekolah maka tanggungjawab mereka selesai. Kalau anak mundur dalam pelajaran hujjah mereka mudah sahaja “kami dulu … pun bodoh macam tu juga. Apa boleh buat” ! Ada pula yang menyalahkan guru, menyalahkan Guru Besar atau Pengetua dan sebagainya. Langsung mereka tidak pernah menyalahkan diri sendiri. Mereka kurang prihatin dengan kemajuan anak. Mereka tidak ambil kisah prestasi pelajaran anak.

 

Itulah pada saya antara tiga faktor yang menyumbang ke arah kemunduran pelajar dan remaja Melayu di negara ini. Sila bagi pandangan balas untuk kita sama-sama bicarakan. Tidak kisah sama ada pandangan anda bersetuju atau tidak dengan pandangan di sini. Yang penting kita berhujah secara ikhlas dan tertib.

 

Saya hanya buat kupasan kenapa timbulkannya masalah. Cara menangani masalah ini tidak saya sentuh dalam tulisan ini. Itu catatan di masa yang lain.

– Dr Shukri Abdullah

www.drshukriabdullah.com